Soal Jawab Undang-Undang Keluarga Islam

1.  Apakah jenis jenis perceraian yang boleh dituntut di Mahkamah Rendah Syariah?

Perceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut:-

1. Tuntutan Cerai dengan Lafaz Talaq

2. Tuntutan Cerai Ta’liq

3.Tuntutan Cerai Fasakh

4. Tuntutan Cerai Khulu//Tebus Talaq

5. Suami hilang (Mafqud) dan Anggapan Kematian

6. Pengesahan Lafaz Talaq

7. Li’an

Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri telah memperuntukkan bahawa semua lafaz talaq hendaklah dilafazkan di hadapan Mahkamah dan dengan kebenaran Mahkamah. Adalah menjadi kesalahan sekiranya lafaz talaq tersebut dilafazkan di luar Mahkamah dan Tanpa Kebenaran Mahkamah.

2. Boleh beritahu apakah itu tuntutan Cerai dengan Lafaz Talaq?

Tuntutan Cerai dengan Lafaz Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq oleh suami terhadap isteri atau seumpamanya berdasarkan Al-Qur’an, as-Sunnah dan Ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran).

3. Boleh beritahu apakah tuntutan Cerai Ta’liq?

Cerai Ta’liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syara’ dan sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/ Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai ta’liq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas ta’liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

4. Boleh beritahu apakah tuntutan Cerai Fasakh?

Cerai Fasakh ialah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri: (a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih daripada satu tahun. (b) Tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan. (c) Telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih. (d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama setahun. (e) Telah mati pucuk. (f) Telah gila selama tempoh 2 tahun. (g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit. (h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita. (i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat. (j) Memaksa isteri hidup secara lucah. (k) Melupuskan harta isteri. (l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama. (m) Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syara’. (n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat bulan telah berkahwin. (o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syara’.

5. Boleh beritahu apakah tuntutan Cerai Tebus Talaq (khulu’)?

Perceraian tebus talaq ialah satu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui melalui ijab dan qabul. Cerai khulu’ adalah merupakan cerai bain sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

6. Boleh beritahu apakah maksud dengan Anggapan Mati tersebut?

Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan(isteri) telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain hendaklah terlebih dahulu mendapat perisytiharan anggapan mati daripada Mahkamah.

7. Boleh beritahu apakah maksud dengan Pengesahan Lafaz Talak tersebut?

Pengesahan Lafaz Talaq ialah talaq yang dilafazkan oleh suami di luar Mahkamah Tanpa Kebenaran Mahkamah sama ada dengan lafaz soreh atau lafaz kinayah. Pihak-pihak sama ada suami atau isteri, hendaklah melaporkan kepada Mahkamah dalam masa tujuh (7) hari, Mahkamah akan menyiasat dan memastikan sama ada lafaz tersebut sabit talaq atau tidak mengikut Hukum Syarak.

8. Boleh beritahu apakah maksud dengan Lian ?

Ia dinamakan li’an kerana suami dan isteri masing masing bersumpah bahawa Allah akan melaknat mereka sekiranya mereka berdusta. Li’an berlaku apabila suami bersumpah empat kali menuduh isterinya berzina dan mengaku bahawa dia berada pada pihak yang benar. Ia diikuti dengan sumpah kali kelima dengan berkata bahawa dia(suami) akan mendapat laknat Allah sekiranya berdusta dalam membuat tuduhan zina itu.

Setelah selesai suami bersumpah, si isteri pula akan bersumpah sebanyak empat kali bahawa apa yang dituduh oleh suaminya itu tidak benar. Kemudian diikuti dengan sumpah kali kelima dengan menyebut bahawa Allah amat memurkainya jika tuduhan suaminya adalah benar. Li’an juga berlaku dengan sebab suami menafikan nasab anak yang di kandung atau dilahirkan oleh isterinya.

Oleh itu antara kesan li’an ialah akan berlaku perceraian ba’in antara suami dan isteri berkenaan. Mereka juga akan haram berkahwin selama-lamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *