8 Tip Isi Masa Lapang Gaya Jutawan

Assalamualaikum w.b.t

Setiap orang pasti mempunyai masa terluang.

Walau sesibuk manapun anda, anda pasti ada masa terluang contohnya ketika menaiki tren, ketika menunggu bas, ketika menunggu temu janji, waktu rehat bekerja, ketika memandu ‘traffic jam’ dan sebagainya.

Begitu juga orang yang berjaya juga mempunyai masa terluang.

Beza masa terluang orang yang berjaya dengan orang biasa adalah pada aktiviti yang mereka lakukan.

Ini saya kongsikan 8 tip untuk isi masa terluang gaya jutawan muslim yang berjaya dunia akhirat.

8 Tip Isi Masa Lapang Gaya Jutawan

1 . Bersenam

Aktiviti bersenam amat baik untuk menjaga kesihatan. Anda tak semestinya perlu ke taman atau perlu pakai peralatan khas.

Senaman juga tiada had masa boleh hanya dalam beberapa minit sahaja.

Hanya lakukan regangan ringkas, lompat bintang, naik turun tangga, angkat berat, berjalan kaki dan tarik hembus nafas.

Cuba cari waktu mana yang sesuai untuk anda buat senaman setiap hari. Anda pasti akan rasa lebih segar dan bertenaga.

2. Hobi bermanfaat

Selain bersenam, anda boleh isi masa terluang dengan hobi bermanfaat. Contohnya bermain badminton, bermain bola, berkebun, menulis, mendaki, memancing dan menanam bunga.

Apa jua hobi yang memberikan anda ketenangan dan manfaat boleh anda amalkan dan masukkan di dalam jadual hidup anda.

3. Belajar

Peluang untuk sentiasa belajar dan tambah nilai diri amat luas. Anda boleh sertai kursus online, seminar online, kelas percuma atau berbayar untuk tambah kemahiran diri.

Contohnya, anda boleh cuba isi masa hujung minggu dengan belajar kursus baiki air-cond, kursus baiki kereta, teknik penanaman, kursus komputer, kursus motivasi, kursus komunikasi, kelas agama dan sebagainya.

Secara tidak langsung, anda dapat kemahiran baru dan siapa tahu ia dapat meningkatkan ekonomi dan nilai diri anda.

4. Tafakur dan beribadah

Masa terluang juga amat sesuai diisi dengan ibadah sunat seperti solat sunat, zikir, istighfar, selawat, tafakur, dan sebagainya.

Selain mengisi masa daripada terbuang sia-sia, ia menjaga diri anda daripada berkata sia-sia dan mendekatkan diri kepada Allah.

5. Khidmat bakti / Servis

Bagi yang suka membantu, boleh sertai NGO atau bergerak sendiri membantu mereka yang memerlukan.

Sumbangan dari segi kewangan, masa dan tenaga anda amat berharga dan sudah pasti mendapat ganjaran pahala.

6. Membaca

Hobi membaca atau mendengar ‘audiobook’ amat bermanfaat dan sesuai mengisi masa lapang anda.

Selain menambah ilmu pengetahuan, anda akan dapat perspektif yang baru dan lebih luas dengan belajar daripada pakar.

Hobi membaca terlalu bernilai dan adalah menjadi wajib bagi mereka yang ingin berjaya.

Belajar daripada pengalaman orang lain adalah cara paling cepat untuk berjaya.

Oleh itu, mulakan dan terapkan hobi membaca dalam diri dan keluarga anda.

Keluarga yang berjaya memiliki perpustakaan mini atau rak buku di sudut membaca rumah.

Mereka mengutamakan membaca berbanding menonton TV.

7. Aktiviti keluarga

Antara nikmat dunia idaman mukmin adalah keluarga sakinah dan mawaddah.

Anak-anak perlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Mereka tidak perlukan wang, gadjet, kartun atau mainan, tetapi mereka lebih perlukan perhatian, belaian, kasih sayang dan interaksi mesra bersama ibu bapa.

Sesibuk manapun anda, pastikan ada masa lapang untuk aktiviti keluarga yang khas.

Pada waktu itu, tutup semua gadjet dan bergembiralah bersama keluarga.

Nikmati nikmat miliki anak-anak kecil, anak-anak dewasa sehingga mereka bekerja yang sudah pasti masing-masing akan sibuk dengan keluarga sendiri kelak.

Nikmati saat ini dan saat sekarang bersama keluarga.

8. Membaca al-Quran

Bagi jutawan muslim, kaya tidak bermaksud kaya harta semata-mata, tapi kaya dengan pahala.

Dan peluang terbuka luas bagi semua orang adalah peluang pahala berganda dengan membaca al-Quran.

Satu huruf digandakan sekurang-kurangnya 10 kebaikan.

Nikmati saat masa terluang dengan membaca al-Quran atau mengulang hafazan al-Quran.

Nescaya hidup anda setiap hari akan penuh makna dan berkat. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *